HUBUNGKAIT KERJAYA GURU DAN AMALAN KOD ETIKA PROFESIONALISME DI MALAYSIA

Tuan Zamzuliani Bt Tuan Hussin ( D20212099198 )

HUBUNGKAIT KERJAYA GURU DAN AMALAN KOD ETIKA PROFESIONALISME DI MALAYSIA

Kerjaya guru merupakan guru itu sebagai satu pekerjaan yang mulia dimana tugas and tanggungjawab yang diberi, memberi peluang membentuk murid-murid dari segi fizikal, emosi, rohani dan intelek selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Menurut Akta Pendidikan 1996, “Guru” bererti seseorang yang mengajar murid di suatu institusi pendidikan atau menyediakan atau mengeluarkan bahan pelajaran atau memeriksa jawapan yang dikembalikan atau melalui pusat pendidikan jarak jauh, dan termasuklah guru besar atau pengetua. Selain itu, H.Syamsul Bahri Tenrere (1993) menyatakan guru adalah sangat penting dalam pendidikan dan pengajaran, kerana gurulah yang akan bertanggungjawab dalam membentuk peribadi seorang murid.


MENELUSURI REALITI KERJAYA GURU.

          Kerjaya sebagai seorang guru ini satu kerjaya yang unik. Hal ini kerana, kerjaya sebagai seorang guru ini memainkan banyak peranan dalam berkhidmat menjadi seorang pendidik yang berjaya. Guru mampu memikul tanggungjawab yang berat dalam mendidik anak bangsa serta membentuk murid-murid mereka dari segi fizikal, emosi, rohani, intelek selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Peranan guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangunan sahsiah malah sebagai agen perubahan. Bahkan dengan tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua rancangan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muda.

    Seterusnya, profesian keguruan cukup mencabar jika dilihat dari segi tanggungjawab guru terhadap agama, bangsa dan negara. Hal ini demikian kerana merekalah yang bertanggungjawab memastikan Falsafah Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Guru dicapai dengan jayanya. Pendidik memainkan peranan yang dominan dalam merealisasikan aspirasi negara untuk mewujudkan perpaduan kaum. Guru juga membuktikan bahawa mereka mampu mengimbangkan kewujudan integrasi nasional yang menjamin keamanan dan kesejahteraan negara. Profesion keguruan sememangnya mempunyai etika kerjayanya tersendiri. Etika kerja guru perlu dijadikan rujukan oleh bakal-bakal guru yang baru menceburi bidang perguruan dan mereka yang sudah lama bertapak dalam bidang perguruan ini. Dengan adanya etika kerja guru, seharusnya para guru dapat menjaga tingkah laku mereka sebagaimana yang sepatutnya.

    Salah satu etika profesionalisme guru yang penting adalah tanggungjawab guru terhadap murid. Guru mestilah mempunyai tingkah laku yang merupakan tanggungjawab terhadap murid. Tanggungjawab ini termasuk lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan murid daripada hal peribadi, bersikap adil terhadap setiap orang pelajar tanpa mengira factor-faktor jasmani, mental, emosi, politik, ekonomi, sosial, keturunan atau agama, merahsiakan maklumat ikhtisas atau sulit mengenai pelajar kecuali kepada mereka yang berhak mengetahuinya, membimbing atau mengajar seseorang pelajar lain tanpa sebarang bayaran, memelihara dan memperbaiki kecekapan ikhtisas melalui pengkajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya pengajaran mereka mencapai mutu yang setinggi-tingginya dan menunjukkan suatu cara berpakaian, pertuturan dan tingkah laku yang dapat memberi contoh yang baik kepada pelajar.



Penyampaian dan didikan ikhlas akan masuk ke dalam jiwa pelajar dan mereka dapat merasakannya dan mereka akan lebih gemar untuk belajar, inlah momen terindah sebagai guru dan pelajar.


    Di samping itu, guru juga hendaklah bertindak sebagai tempat penyelesaian segala masalah yang dihadapi oleh para pelajar sama ada masalah dalam pelajaran mahupun masalah yang berkaitan dengan diri mereka. Hal ini dapat mengurangkan bebanan atau tekanan yang berlaku terhadap diri mereka. Jika seseorang guru tidak mahu mengambil berat akan masalah yang dihadapi oleh pelajarnya maka pelajar tersebut akan menyendiri dan tidak mahu bergaul dengan orang lain. Dengan ini, guru perlu pandai dan selalu bergaul dan bertanya dengan murid tentang masalah yang mereka hadapi dan cuba memberi pendapat yang terbaik kepada mereka. Seterusnya, seorang guru itu mestilah mengutamakan kepentingan pelajarnya berbanding daripada kepentingan diri sendiri. Hal ini adalah untuk memastikan setiap pelajarnya memperolehi ilmu pengetahuan serta perhatian yang secukupnya. Sekiranya didapati salah seorang pelajarnya tidak memahami akan pelajaran yang diajarnya maka guru tersebut hendaklah bertindak segera untuk mengatasinya dengan memberi tumpuan yang lebih kepada pelajar yang terlibat tanpa mementingkan diri sendiri walaupun terpaksa meninggalkan perkara yang lain. Oleh yang demikian, kemajuan para pelajar akan sentiasa bertambah meningkat disebabkan terdapat guru yang mengambil berat tentang pelajar yang bermasalah dan pada masa yang sama pelajar tersebut akan bertambah seronok, gembira untuk belajar.

    Yang kedua, tanggungjawab guru terhadap ibu bapa. Guru mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa murid. Oleh itu guru hendaklah menghormati tanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Guru haruslah berusaha mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama erat antara institusi pendidikan dengan rumah tangga dan menganggap semua maklumat yang diberi oleh ibu bapa tentang keadaan rumah tangga atau tentang anak mereka adalah sulit. Guru tidak bolehlah sesuka hati cuba membocorkannya kepada sesiapa kecuali mereka yang berhak untuk mengetahuinya sahaja. Guru juga perlu mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang kasar atau melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kepercayaan murid terhadap ibu bapa atau penjaga mereka. Justeru itu, semua guru disarankan memberi perhatian yang sama rata antara para pelajar tanpa pilih kasih sepertimana ibu bapa melakukan terhadap anaknya semasa berada di rumah. Selain itu juga, guru haruslah menganggap pelajar-pelajar tersebut seperti anak mereka sendiri. Dengan ini, wujudlah hubungan yang lebih mesra di antara guru dan pelajar.

    Di samping itu, guru juga mempunyai tanggungjawab terhadap rakan sejawatan dalam profesion yang sama. Oleh itu hendaklah, mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan murid atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan sebagai guru dan berusaha dengan sepenuhnya menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh serta sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Guru juga mesti sentiasa mengawasi diri supaya tidak melakukan perkara yang mencemarkan nama baik profesion keguruan yang lebih buruk. 

    Akhir sekali, guru hendaklah bertingkah laku dan menjalankan tanggungjawabnya dengan mengambil kira keperluan masyarakat dan negara. Maka dengan itu guru hendaklah Mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan murid atau ibu bapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru. Memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap murid yang boleh membantu dan membimbing mereka untuk menjadi warganegara yang taat setia, bertanggungjawab dan berguna, menghormati orang yang lebih tua dan menghormati perbezaan kebudayaan, keturunan dan agama. Tambahan pula, sentiasalah berpegang kepada tingkah laku yang sopan yang diterima oleh masyarakat dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan baik.

    Etika yang ditunjukkan oleh guru melalui kod etika perguruan dan prinsip-prinsip etika ini, sedikit sebanyak menjadi guru-guru sebagai role–model kepada pelajar. Senario ini mempengaruhi etika pelajar dan membantu pembentukan modal insan pada masa akan datang. Dengan ini terbuktilah kerjaya guru dan kod etika professional keguruan sangat penting untuk diketahui dan difahami oleh semua orang dengan lebih mendalam.  Tingkah laku guru yang berdisiplin dan dan terikat dengan garis panduan Etika Perguruan membantu memperkembangan potensi pelajar ke arah satu pembentukan individu yang berjaya dan menjadikan pelajar lebih cenderung kepada melakukan perkara-perkara yang positif dan meninggalkan perkara yang negatif.

    Kesimpulannya, guru merupakan satu profesion yang sangat mulia. Jasa dan sumbangan yang diberikan oleh warga pendidik untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, beriman dan mengamalkan nilai-nilai yang baik tidak harus dipandang rendah oleh masyarakat. Pemilihan bidang ini sebagai pilihan terakhir untuk diceburi adalah satu tanggapan yang salah. Masyarakat harus sedar cabaran dan bebanan yang dihadapi oleh golongan guru sebelum mengambil jalan mudah dengan memandang rendah golongan ini. Usaha Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan profesion ini perlu dipandang tinggi. Tanpa guru, siapalah kita pada hari ini!


( Kelibat murid yang comel dan gurunya di dalam ini merupakan potret terindah dan kenangan kepada si pendidik dan juga anak murid tersebut. Kemuliaan seorang guru sangat tinggi dan perlu dihormati )

Comments

Popular posts from this blog

PELAKSANAAN KOD ETIKA PROFESIONALISME KEGURUAN DAN CABARAN DI MALAYSIA

TUJUAN DAN FUNGSI PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN YANG DILAKSANAKAN DI MALAYSIA